Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini, menangis adalah dituntut. Setitis air mata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah daripada tasbih para wali. Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda: Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Anas r.a. berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Anas berkata: seketika itu para sahabat menuntup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.
Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di hari akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tiak reda. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya kepada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para Nabi dan rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi, apabila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Menangislah dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang sebenar. Jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) Bin Adilan Albahily r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah."(Riwayat Attimizi).
No comments:
Post a Comment